Thursday, August 26, 2010

Cerita detik kewafatan Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saya mendapat cerita ini dari sorang ustaz di radio IKIM kalau saya tidak silap. Cuma saya tak ingat namanya. Agak lama juga saya dengar cerita ini, kemudian baru lah saya masukkan di dalam blog ini. Cerita ini berkisah berkenaan ketinggian peribadi dan kerendahan diri seorang sahabat agung Rasulullah SAW yang tercinta iaitu Saidina Umar Ibn Al-Khattab. Beliau juga seorang bapa mertua kepada Rasulullah SAW disamping sabahat yang setia.

Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA adalah khalifah Islam kedua selepas wafatnya khalifah yang pertama iaitu Saidina Abu Bakar Al-Siqqid RA. Beliau telah meninggal dunia asbab dari ditikam oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu’lu’ah dek kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA. Dia menikam Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA sebanyak enam kali sewaktu beliau menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah. Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad SAW. dan makam Saidina Abu Bakar Al-Siqqid RA. Saidina Uthman Affan RA dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya.

Disaat hampir kepada kewafatannya, Saidina Umar sering pengsan dan tidak sedarkan diri. Beliau sering meletakkan kepada di atas lantai ketika beliau tidur atau pun sewaktu tidak sedarkan diri. Sering kali anak dan sahabat-sahabat yang lain mengangkap kepala beliau untuk diletakkan di atas bantal atau pangkuan. Namun, sebaik sedar dari pengsan atau tidur, beliau akan meletakkan semua kepalanya di atas lantai.

Keadaan ini diceritakan kepada Khalifah Islam yang keempat dan juga salah seorang sahabatnya dan Rasullah iaitu Saidina Ali Ibn Abi Talib Karamallahu Wajhah. Lantas Saidina Ali Ibn Abi Talib Karamallahu Wajhah bertanyakan hal ini kepada Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA. Lalu persoalan itu dijawab oleh Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA.

“Aku tidak tahu bagaimanakah pandangan Allah kepada ku. Adakah dengan pandangan kasih sayang dan belas atau dengan pandangan yang murka?”.

Lalu Saidina Ali Ibn Abi Talib Karamallahu Wajhah menjawab.

“Bukankah Rasulullah SAW telah menjanjikan yang engkau adalah salah seorang sahabat yang dijanjikan syurga?”.

Jawab oleh Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA.

“Bukanlah aku ingin menafikan apa yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW . Cuma aku risau akan amalan ku yang mungkin tidak mencukupi”.

Lalu Saidina Ali Ibn Abi Talib Karamallahu Wajhah berkata.

“Lalu apakah yang dapat menenangkan hati mu wahai sabahatku?”

Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA menjawab.

“Tuliskan satu surat yang mengandungi penyaksianmu terhapat apa yang telah diucapkan oleh Rasulullah SAW suatu ketika dulu dan tanam lah ia sekali dengan jasadku apabila aku meninggal dunia”

Lalu Saidina Ali Ibn Abi Talib Karamallahu Wajhah mengeluarkan secebis kertas dan menulis di atasnya bahawa saya, Saidina Ali Ibn Abi Talib Karamallahu Wajhah sepupu dan sahabat Rasulullah SAW dengan ini bersaksi bahawa Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA adalah ahli syurga. Kertas tersebut diberikan kepada Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA dan Saidina Umar Ibn Al-Khattab RA memegang erat kertas tersebut. Dan kertas tersebut telah pun ditanam bersama-sama jenazah beliau.

Begitu la agungnya seorang pejuang Islam. Walaupun banyak jasa yang telah dicurahkan, namun sentiasa merasa ianya masih belum cukup untuk mendapat redha dan rahmat Allah. Berbanding diri ini yang sering membuat salah dan maksiat, kenapa tidak sekali pun rasa insaf dan cukup dari berbuat mungkar. Kenapa bila mendengar cerita ini, diri ini menangis seketika, namun diketika yang lain, berbangga dengan dosa dan seolah-olah tidak takut kepada hukum Allah SWT.

Sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Jika baik daging tersebut, maka baik lah manusia itu. Jika rosak daging tersebut, maka rosak lah manusia. Ia adalah hati. Bersihlah hati, seperti kamu baru lahir dulu. Jadikan lah jasad dan peribadi ini bersih dan mulia semoga bertemu dengan redha dan rahmat Allah.

Wallahua’lam

No comments:

Post a Comment